Sunday 17 November 2013

TENAGA ROHANI DAN GUNANYA

             Diri yang berdiri dengan sendirinya memberi dan mengisi aliran kehidupan kepada badan, menurut saluran-saluran tertentu sampai meliputi keseluruhannya. Oleh kerana aliran itu mengalir seluruh batang tubuh kita yang dinamakan jasmani, dengannya terdirilah pula rohani. Jasmani ialah jasad atau badan, keadaannya nyata (positif). Diri yang memberi daya-hidup mengaliri badan atau jasad, maka dia merupakan gambaran dalam bentuk jasmani yang diberi nama rohani. Keadaannya tidak nyata (negatif). Jadi, adalah pada kita aliran positif dan aliran negatif. Sebenarnya dalam batang-tubuh kita, kalau dipercayai, didapati tiga aliran, iaitu:
 
Pertama : Aliran nyata, Aliran Jasmani.
Kedua : Aliran tidak nyata, Aliran Rohani.
Ketiga : Aliran di balik tidak nyata, Aliran Diri.
Ketiga-tiga aliran tersebut menjadi satu di dalam tubuh kita:
 
• Aliran Rohani berada di dalam Aliran Jasmani
• Aliran Diri berada dalam Aliran Rohani
 
Dan pokok pangkal dari segala pergerakkan ialah: 
• Aliran Diri menghidupkan Aliran Rohani dan mendatangkan Aliran Jasmani
• Aliran Jasmani merupakan darah
• Aliran Rohani merupakan stroom dan Aliran Diri iaitu hidup yang mengisi stroom.
             Satu tetapi tiga, keadaannya kandung-mengandung, jasmani mengandung rohani dan rohani mengandung diri. Atau dari kasar ke halus dan ke lebih halus (isi).Untuk mengetahui dan menguasai Aliran Rohani, kita kembali kepada jalan yang telah kita temui iaitu jalannya diri yang telah menembus alam sendiri atau badan sendiri. Dengan telah ditemui aliran diri, dengan sendirinya kita telah menemui pula Aliran Rohani kerana Aliran Diri itu terkandung dalam Aliran Rohani. Dan adalah Aliran Rohani itu jalan bagi Aliran Diri. Dan setelah kita dapat memahami keduanya, maka dapatlah kita membezakan jalan atau stroom dan mana pula yang isi. Dan telah kita temui dan kuasai itu tenaga yang tersembunyi, yang amat banyak mengandung rahsia, iaitu tenaga ghaib (metaenergy), yang letaknya ialah di tangan kita, atau pada kita.  

             Asalnya dari dalam, dan adalah menjadi kewajipan kita untuk mempelajari kegunaannya, kerana adalah dia itu serbaguna. Untuk itu, kita harus serbatahu. Ketahuilah dirimu lebih dahulu supaya kamu berpendirian, dan pecahkanlah rahsia dirimu itu. Diri yang berdiri dengan sendirinya ialah suatu kumpulan dari zat serba zat, iaitu suatu zat hidup, kerana berasal dari Yang Hidup lagi Menjaga. Itulah dia anugerah, kurnia Tuhan yang sebenar-benarnya kepada kita untuk hidup. Segala puji dan puja kupersembahkan terhadap-Nya, Allah Tuhan-ku Yang Memerintahkan dan Menjaga seluruh alam. Aku telah menemui itu isi yang serbaguna, kerana aku telah tahu, telah banyak mempergunakannya untuk kebaikanku dan
kebaikan orang lain. 

            Aku tak dapat menyatakannya, hanya dapat merasakannya; terasa olehku dan terasa pula oleh orang yang menghubungi aku. Aku mengisi diriku dan aku mengisi orang lain, dan dari itu makanya isi pokok yang ada padaku tak habishabisnya. Dia ada padaku dan banyak di luarku. Dan, banyak pula sudah rahsianya aku ketahui, hingga dia yang banyak itu silih berganti mendatangiku, dan tak jarang pula aku menghubunginya. Yang banyak itu tak menyusahkan aku, tidak memberatkanku, kerana aku tahu mendudukkannya pada tempatnya. Dia silih berganti mendatangiku, diriku, dan dia datang dan pergi bagiku. Kenapa bisa begitu? Ya, kerana dengan mengetahuinya pintu telah terbuka bagiku; hijab (tabir) terbuka sudah. Dan itu bintang yang banyak, selain dari mengisi bintangku,bertaburan di sekelilingku, mengisiku ganti-berganti. Dia yang dikasihi telah menjadi kekasihku dan mungkin aku yang mengasihi, yang dikasihi-Nya itu menjadi kekasih-Nya pula. Insya- Allah. 

       Dan banyak lagi yang aku belum ketahui. Aku masih mencari, memohon minta tambah ilmuku. Yang menjadi pertanyaan bagiku sekarang, isi yang telah aku perdapat itu, yang tak dapat dinyatakan akan tetapi dapat dirasakan, bisakah dapat ditangkap oleh alat-alat dari fizikal untuk dipelajari? Aku yakin seyakin-yakinnya, isi yang ada padaku itu tidak akan habishabisnya, kerana sangat banyak di luarku. Aku ingin manusia yang banyak ini bebas dari penderitaan. Aku ingin cara berfikir manusia berubah menurut yang aku kehendaki, iaitu damai, damai, sekali lagi damai, sebab yang sebenarnya isi ialah perdamaian. Untuk menciptakan perdamaian itu ialah dengan isi yang saya maksud, isi yang mempunyai jalan sendiri iaitu jalan yang berpetunjuk, yang berisikan nikmat dan bukan yang dimurkai dan tiada pula sesat.
                Manusia selama ini berfikir, berbuat, bertindak melakukan segala sesuatu dengan daya-tenaga lahirnya yang berasalkan dari alam fikiranya, yang berasal dari otak; otak yang berasal dari tanah yang tak bisa bebas dari hawa nafsu. Seluruh batang tubuh kita dialiri hidup yang berisi, termasuk otak kita, dan isi yang mempunyai jalan sendiri itulah yang akan dipergunakan, kerana dia bisa membebaskan diri dari tekanan-tekanan alam sekelilingnya, termasuk hawa nafsu, syaitan, iblis dan lain sebagainya. Berilah isi kepada dunia dengan mempergunakan isi yang ada pada kita, dan tunjukkan jalan yang berisi kepada manusia banyak yang sedang mencari jalan yang benar. Sebelum menciptakan perdamaian, damaikanlah diri lebih dahulu. Bebaskanlah diri dari tekanan-tekanan yang menghalangi tujuan kita. Semoga, bekerja dengan isi itu terciptalah damai di dunia ini, kalau memang perdamaian yang akan dituju.
                 
                Saya sengaja pecahkan tenaga ghaib ini secara ilmiah untuk orang-orang yang meminatinya, dan kepada sesiapa saja yang
sanggup dan menemui dan menguasai, walaupun dengan jalan sendiri atau dengan jalan perantaraan muridku yang cerdas dan banyak pengalaman mempergunakan untuk kebaikkan, sekiranya telah dapat banyak mengetahui akan selok-belok rahsianya. Jalan yang baik dan membaikkan yang akan diturut, jangan jalan yang buruk, yang akibatnya merosak atau menghancurkan. Tanya diri sendiri: Siapa aku? Mahu ke mana? Dan Mahu apa? Dan yang penting, dudukkanlah diri pada tempatnya. Buat aku, aku telah mendudukkannya pada tempatnya. Segala apa yang ada padaku, kuserahkan kepadanya, dan dialah yang jadi aku, oleh kerana aku mahu hidup, dan dialah yang hidup itu. Seluruh kehidupanku diatur dan disusunnya sendiri kerana adalah dia sebaik-baik pengatur dan penyusun. Dialah yang tahu, sebab dia datang dari Yang Maha Tahu. Aku duduk di tempatku dan adalah ilmunya, ilmuku. Rahsia diri terletak pada kita; di luar dan di dalam kerana dia ada di luar dan ada pula di dalam, ada pada kita dan ada pada orang. Orang yang tak tahu di diri tak berpendirian. Dari itu ketahuilah dirimu, dan temuilah dia, dan pelajarilah rahsianya; dengan diri engkau bisa menangkap segala-segalanya. 
                     Diri yang lemah akan menjadi mangsa kepada yang kuat. Dari itu perkuat dirimu; perbesar, perkembanglah dia. Diri yang kuat, yang besar dan sudah berkembang, tak bisa dipengaruhi oleh sesiapa pun. Perkuatkanlah dia dengan jalannya, perbesarkanlah dia dengan jalannya dan kembangkanlah dengan jalannya. Untuk itu temuilah jalan diri itu. Dia kuat lagi besar, kerana berasal dari Yang Maha Kuasa dan Maha Besar. Gunungkanlah itu yang setitik dan lautkanlah itu yang sekepal. Dengan apa menggunungkan yang setitik dan dengan apa melautkan yang sekepal itu? Jawabnya mudah sahaja, iaitu dengan jalannya. Segala sesuatu, selesaikanlah dengan jalannya, dan jalan itu telah kita punyai. Berpegang teguhlah pada jalannya dan jangan bercerai-berai. Adalah jalan itu merupakan mata rantai; kait-berkait, rangkai-berangkai dengan satu sama lain. Putus minta disambung, kusut minta diselesaikan, keruh minta diperjernih. Kusut di hujung benang, kembali ke pangkal benang. Kesemuanya diselesaikan, dilakukan, dibawakan dengan jalannya. Orang yang tak tahu di diri, kehilangan diri. Hidupnya tak bererti dan akan menjadi mangsa yang berdiri. Kita akan diperalatkan kerana dianggap barang mati. Dari itu ketahuilah diri, carilah diri sampai ditemui dan pergunakanlah itu diri supaya kita berpendirian. Dan hiduplah dengan diri. Diri yang dimaksud ialah diri yang sebenarnya diri, bukan diri yang dibuat-buat, diri yang didirikan, melainkan diri asli, diri yang berdiri dengan sendirinya. Diri yang duduk benar, tegak benar, berjalan benar kerana berasal langsung dari Yang Maha Benar, lagi Maha Suci:

• Diri itu jernih, bersih, suci.
• Dia hening, tenang, damai.
• Dia yang tidak ada tetapi ada bersama kita itu

ketuhanan, kerana berasal dari Tuhan.Jadi adalah yang telah ada sama kita itu ketuhanan, tetapi bukan Tuhan. Tuhan tetap Tuhan, Esa Tunggal; tidak dua, tidak tiga, apalagi banyak. Ketuhanan ada pada kita, ada pada orang lain dan ada di mana-mana. Kenal-mengenalilah satu sama lain, hubung-menghubungilah kerana tidak kenal maka tidak sayang. Syaitan berdiri, Iblis berdiri dan jinn pun berdiri, akan tetapi dirinya tidak seperti diri kita manusia; sama-sama makhluk dijadikan Tuhan, lain jenis. Mereka itu berasal dari api yang sifatnya merosak dan menghancurkan. Dia menjahanamkan kita, dia membawa kita ke neraka kerana dia tidak senang akan kejadian kita. Diperintahkan Tuhan dia sujud kepada nenek-moyang kita Adam, dia tidak mahu, dia engkar, maka neraka waillun tempatnya ditentukan Tuhan. Ia berkata, “Patutkah saya sujud pada orang yang engkau jadikan daripada tanah?” Dia (Iblis) meminta dipanjangkan umurnya sampai hari kiamat, guna memusnahkan atau memperdayakan anak-cucu orang itu di belakang hari, kecuali ‘yang sedikit.’ Dan ‘yang sedikit’ itu yang tak terpedayakan olehnya. “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak engkau ketahui,” kata Tuhan. Orang yang tak tahu di diri, kehilangan diri, dan yang berdirikan pada tanah dengan mudah terperdaya oleh syaitan, kerana api itu bisa berdiri dan hidup di atas tanah. Dengan tak disedarinya dia telah menjadi manusia iblis kerana iblis telah bersarang di dalam batang tubuhnya yang berasal di balik asal dari tanah itu. Betapa tidak? Iblis yang tidak nyata itu, bagaimana ia bisa mengetahui kalau ia lupa ke dirinya? Iblis bisa masuk melalui makanan, minuman, sedang tidur dan lain sebagainya, dan lama di dalam menguasai diri dan menutup sampai orang kehilangan dirinya. 
                 
            Intan telah terbenam dalam lumpur.Hanya dengan mengetahui diri, menemui diri dan dengan jalannya diri, segala sesat dan yang menyesatkan itu bisa disapu bersih. Dari itu kenali diri, pelajarilah diri, temuilah diri dan turutlah jalannya diri yang telah ditemui itu. Iblis yang berasal dari api itu akan hancur berantakan kalau kita ketahui diri kita. Dan itulah yang dikatakan, “kecuali ‘yang sedikit’ itu.” ‘Yang sedikit’ ada pada tiap-tiap orang. Dari itu kemukakanlah dia dan pergunakanlah dia. Sedikit tetapi menakutkan, menggemparkan, tak sanggup iblis memperdayainya sebab dia tak lekang oleh panas dan tak lapuk oleh hujan; berdiri dengan sendirinya. ‘Yang sedikit’ itulah rahsia; rahsia kelebihan bagi yang mengetahui, menemui dan mempergunakannya. Seluruh makhluk akan sujud menyimpuh kepadanya. Ingat akan kejadian kita pada waktu Tuhan akan menyuruh menyembah kepada nenek-moyang kita Adam a.s.. Semuanya sujud, kecuali Iblis. Dia engkar, tak patuh pada Yang Maha Kuasa sedangkan Allah mengetahui yang tak diketahuinya. Dia engkar dan semenjak itu dia menjadi musuh kita nombor satu. Dia berniat akan memusnahkan, akan memperdayakan kita manusia sampai kepada anak cucu-cicit, sampai kepada hari kiamat. Sekarang kita telah mendapat tahu akan rahsia itu ‘yang sedikit,’ bahkan kita telah menemuinya pula. Apa yang kita takutkan lagi? Kalau kita mahu, kita akan sanggup menghancurkannya. Bahkan, kalau kita ketahui betul, melihat kita sahaja dia sudah lari menyingkir dari kita. Dengannya kita tidak takut kepada siapa sahaja, kecuali Allah. Hanya Allah tempat kita takut. ‘Yang sedikit’ yang telah kita ketahui, hendaklah dia kita temui dan punyai serta kuasai, sehingga kita bisa mempergunakan daya-gunanya yang banyak mengandungi rahsia itu.

                  Kecerdasan kita menjadikan dia besar, memperkembang dia, menjadikan dia kita, bahkan lebih dari itu kerana dia ada di dalam dan di luar kita. Dia sedikit, kita perbanyak. Dia setitik kita gunungkan, sekepal kita lautkan, sudah banyak kita perbanyak kerana dia ada di langit, ada di bumi dan di mana-mana sahaja. Gali
dan pelajari yang sedikit itu sampai dikuasai hendaknya. “Mereka bertanya kepada engkau (Muhammad) mengenairoh. Jawablah,” Kata Tuhan, “Tiada aku diberitahu tentang itu, kecuali sedikit.” Bukankah ‘yang sedikit’ kata Tuhan kepada Muhammad itu sama dengan ‘yang sedikit’ yang tak bisa diperdayai oleh syaitan iblis itu? Muhammad Rasulullah diwahyukan Tuhan kepadanya rahsia ‘yang sedikit.’ Ini kepada manusia Muhammad yang telah diangkat-Nya, dijadikan utusan-Nya. Si iblis tahu ‘yang sedikit’ itu, sewaktu mula manusia pertama dijadikan Tuhan. Diakuinya bahawa ‘yang sedikit’ itu tak sanggup dia memperdayainya, memusnahkan, kerana dia kekal dan abadi. Dan iblis tahu kejadian manusia di luar ‘yang sedikit’ itu berasal dari tanah, dan tidak kekal dan akan hancur kembali ke asalnya iaitu ke tanah. Dari itu makanya mudah dia memperdayakan manusia. Jadi, bagi kita yang sekarang, yang amat penting ialah tahu. Sekali lagi, tahu, dan itulah ilmu. Ketahuilah ‘yang sedikit’ itu ada padamu dan menjadi tahulah engkau akan keadaannya. Tahulah di diri, tahulah di badan. Kalau tadinya adalah pengertian kita diri itu kepunyaan badan, maka ketahuilah olehmu bahawa badan itu kepunyaan diri. Untuk mengetahui selanjutnya, pisahkanlah dahulu yang mana yang badan dan yang mana yang diri. Berdirilah pada diri, dan jadikanlah badan itu diri sendiri yang penuh mengandungi rahsia dan banyak mengetahui rahsia.

                    Dia buta, dia pekak, dia bisu, dia tak berakal, dia tak bersuara, tetapi dia tahu. Tahu itu yang tak ada pada kita. Dari itu, jadilah orang yang tahu sampai serba tahu. Untuk itu, hendaklah kitaketahui dia, dan hiduplah bersertanya, dan dengan dia. Berbuatlah dengannya walau apa yang dilakukan, dan jangan tinggalkan dia walau di mana kita berada. Keadaannya bersama kita terbatas, tertentu, ditentukan oleh Yang Menentukan. Dan lantaran keadaankita pula makanya dia berdiri bersama kita, dan itulah diri kita;

• yang berdiri dengan sendirinya
• yang tak lekang oleh panas dan tak lapuk oleh hujan
• yang kekal dan abadi
• yang tak terpedaya oleh syaitan iblis
• yang sanggup menguasai keadaan, menguasai masa,
  anti-peluru, kebal
• yang sanggup menundukkan musuh bahkan harimau
bisa sujud kepadanya. (Bukankah lantaran dia
makanya diperintahkan sujud makhluk-makhluk lain
termasuk malaikat?)

          Suaranya mengguntur, katanya berirama, tindakannya menuju kepastian kalau tak dikatakan pasti. Baiknya luar biasa, tetapi bengisnya bukan kepalang. Hati-hatilah kepadanya. Jagalah jangan sampai dia marah, kerana kalau dia marah dia marah benar dan bukan marah-marahan. Orang biasa tak sanggup menghadapinya kerana dia tahu. Dia banyak sudah tahu kerana dia berilmu. Hanya orang yang berilmu bisa menghadapinya, inipun bergantung kepada dalam-dangkalnya ilmu orang itu, tinggi-rendahnya tingkat ilmu orang itu, dan benar-tidaknya dasar ilmu orang itu. Ilmu yang tak benar, mendekatinya pasti hancur, dan akan hancur dengan sendirinya apabila berhadapan dengannya. Apalagi orang mempergunakan apa yang dinamakan ilmu akal untuk menarik keuntungan, untuk diri sendiri. Dia berfirasat. Firasatnya halus dan dalam. Dia mempunyai kesanggupan di segala bidang, ahli di dalam segala hal ehwal, bisa menundukkan lawan dan kawan dan bisa menyesuaikan diri di mana-mana. Dan banyak lagi, masih banyak lagi rahsianya yang patut diketahui. Pokok-pangkal dari luar-biasa itu ialah yang dikatakan ‘yang sedikit’ oleh Tuhan kepada Muhammad Rasulullah, dan yang tak terpedayakan oleh syaitan iblis itu. Bahkan iblis bisa lenyap dan hancur dibuatnya. Itulah dia hidup yang menghidupkan kita di dalam. Dia mengisi jalannya kehidupan kita, meliputi keseluruhannya, dan ditutup dan dibatas oleh bulu dan kulit kita. Dan bagi kita orang nyata, alirannya itu aliran negatif namanya, tidak nyata, tidak pasti. Ilmu pengetahuan tak dapat memungkiri akan keadaannya aliran ghaib itu. Aliran ghaib itu kita namakan kerana berasal dari Yang Ghaib dan mengandungi Rahsia Ghaib. Bagi yang ingin mengetahui rahsianya, apalagi untuk menguasainya, adalah menjadi tugasnya, menjadi kewajipannya mencari dan mempelajari aliran hidup itu sampai diketahui dan ditemuinya, dan membawanya dari negatif ke positif, dari tidak pasti kepada kepastian, dan sampai mempunyai itu tenaga ghaib, bahkan bisa sampai menjadi orang ajaib. Dan untuk menjadi orang ajaib, setidak-tidaknya mempunyai tenaga ghaib, orang harusmempelajari kejadian sendiri lebih dahulu. Dapat memahami perbezaan badan dan diri, antara yang hidup dan yang mati, antara yang akan pergi dan yang tinggal, antara yang akan kembali dan yang akan pulang, sebab masing-masing akan pulang dan akan kembali ke asalnya.

                        Untuk mengetahui yang mana badan, semua orang tahu sudah. Akan tetapi, pengetahuan kita mengenai badan itu kita tingkatkan kepada keadaannya yang terdiri dari, kalau kita mahu dari luar dan ambil kesimpulan iaitu bulu, kulit, darah, daging, urat, tulang, otak besar, otak kecil, hati, jantung, limpa, rabu, empedu. Dan adalah letaknya dan duduknya bahagian-bahagian badan itu begitu baik aturan dan susunannya, kerana disusun dan diatur oleh Yang Maha Penyusun dan Maha Pengatur, iaitu Yang Maha Pencipta, Allah. Untuk mempelajari, kita mendapati barang yang sudah jadi, yang sudah ada. Tak perlu kita fikirkan lagi bagaimana pembikinannya. Kita pelajari barang yang sudah ada, ada pada kita dan ada pada orang lain. Yang dikehendaki dalam hal ini ialah kecerdasan dan kearifan, dan berperasaan. Kecerdasan, kearifan dan perasaan, dan pengetahuan lain-lain nanti (buku-buku, kitab-kitab) akan membenarkan akan adanya itu hidup, itu diri, itu yang ghaib di dalam batang tubuh kita, yang mempunyai aliran hidup yang tersendiri, menjalankan jalan yang telah ada, yang berbataskan
menurut batas yang telah ada pula, iaitu bulu dan kulit kita. Dan untuk memastikannya atau membawanya kepada kepastian, maka kita harus membuka pintu baginya, supaya kita dapat mengetahui keadaannya yang sebenar. Membukakan pintu bererti memberi jalan buat dia keluar. Caranya tidak boleh dengan dipaksakan, umpamanya melukakan sedikit anggota badan. Dengan cara begitu kita tidak akan menemuinya kerana dia tidak mahu badannya dirosakkan. Dia sendiri yang berada di dalam sangat ingin sekali hendak keluar, ingin bebas tetapi tidak lepas. Dia sangat berasa tertekan, terkurung, terkongkong, terjajah, terseksa oleh kerana jalan hidup yang salah kita bawakan di luar. Dia tahu tetapi tak berdaya oleh kerana terkurung. ‘Anak Kunci’ dipegang oleh orang luar. Kita pelajari dia, kita ketahui keadaannya dan kita cari ‘Anak Kunci’ untuk membukakan pintu baginya. Kalau pintu telah terbuka dan jalan untuk keluar telah ada padanya, tentu dia akan jalan keluar dengan sendirinya, sedangkan yang dinamakan ‘Anak Kunci’ tetap berada di tangan kita. Dan hidup matinya di luar bergantung kepada kita. Dia akan pergi dan dia akan kembali. Dia pergi, akan tetapi tetap duduk di tempatnya. Setelah pintu terbuka dan dia telah keluar, maka perasaan, kecerdasan dan kearifan kita akan membenarkan dan mengakui akan keadaannya.

                Perasaan kita yang akan menangkapnya, mengetahuinya dan menentukan yang mana yang dia yang sebenarnya. Setelah terasa dan merasakan jalan keluar-masuknya itu, dapatlah kita membezakan mana yang dia dan mana pula yang kita, mana yang diri dan mana pula yang badan. Dan itulah dia yang sebenarnya Aku yang telah mendapat pengakuan. Aku yang terahsia letaknya dan banyak mengandung rahsia. Aku telah menemuinya dan bertambah kuatlah aku sekarang, kerana dia benar-benar telah menjadi Aku. Dan dia telah lahir, yang dinantikan telah datang, itu yang benar, dibenarkan oleh Yang Maha Benar, dan Akulah itu. Bagi orang baru keluar dari penjara, dari kurungan, dari penderitaan, dari penindasan, setelah pintu terbuka baginya hendaklah dia bertanya: Siapa Aku? Hendak ke mana Aku? Dan mahu apa Aku? Untuk mendapat jawabnya yang tepat ialah “Ketahuilah dirimu!” Kerana kalau engkau itik, tentu pulang ke selokan (pelimbahan), kalau ayam tentu pulang ke reban. 


                       Ketahuilah bahawa tiap-tiap orang, tiap-tiap kita ada itu Anugerah Agung kurnia Tuhan yang terahsia letaknya pada kita itu, dan selain terahsia letaknya pada kita juga, dia banyak mengandung rahsia. Masing-masing kita mengandungnya. Supaya kita puas menjalankan kehidupan, maka lahirkanlah kandungan itu. Dengan kelahirannya maka terbukalah sudah rahsianya. Dia hanya sedikit, tetapi amat besar ertinya bagi kita kerana dia hidup; menghidupkan kita. Dan itulah dia yang sedikit. “Roh-Ku,” kata Tuhan sewaktu meniupkannya ke dalam batang tubuh nenek-moyang kita, manusia yang pertama. Bagi orang yang telah mengenalnya, Tuhan-kah namanya itu? Tentu tidak, bukan? Dan bagi orang yang mengetahui kedatangannya dari Tuhan, anak Tuhan-kah namanya? Tentu tidak, bukan? Dari itu, kami yang telah mengenalnya dan telah menjadikan diri kami dia, menamakan yang telah ada bersama kita itu ketuhanan. Sekali lagi, ketuhanan. Orang mengatakan, “kenalilah dirimu, kerana siapa mengenal dirinya akan mengenal Tuhan dengan sendirinya.” Untuk mengenal diri secara positif, lahirkanlah kandungan masing-masing. Dan setelah tahu di diri yang sebenarnya, akan tahulah kita bahawa kesalahan besar telah kita lakukan dalam membawa jalan kehidupan; suatu pandangan hidup yang salah, kerana yang mati selama ini dianggap hidup, sedangkan yang sebenarnya hidup, tidak dipedulikan. Lahirlah. Lahirlah manusia baru di dunia. Semua orang, semua umat, semua manusia di mana-mana di dunia menunggu kedatangannya, kelahirannya. Insya-Allah.

                   Bagiku, setelah aku menemui jalannya, aku pelajari dia dan isinya, serta rahsianya. Maka tahulah aku akan dia yang sebenarnya. Aku telah menemuinya diriku yang sebenarnya. Dan dengannya, pada jalannya, aku menemui Tuhan Yang Sebenarnya, Yang Maha Esa, Tuhan-ku, tiada yang lain daripada-Nya melainkan Allah. Dan bagaimana caranya aku bertemu dengan Dia Yang Maha Besar itu, tak dapatlah aku menceritakannya kerana perjalananku dengannya, diriku yang berasal dari Sana ialah dari;

• Ada ke tiada
• Tiada ke tidak ada

Di tidak ada itu, aku tak dapat mengatakannya lagi, keranasegala    apa yang ada padaku sudah tak ada lagi. Jadi, apa yang akan aku katakan? Dan dalam perjalanan kembali dari:

• Tidak ada kepada tiada
• Tiada kepada ada.

                      Pengalaman perjalanan yang berulang-ulang, memberi keyakinan dan kepastian di saat-saat itu aku sudah di Sana, dan di Sana pulalah aku dalam tidak ada itu, timbul menjadi ada guna untuk mengadakan pengakuan dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah berulang-ulang tiga kali. Dan itulah aku sekarang, yang tadinya dilahirkan, telah melahirkan pula. Dilahirkan aku sebagai seorang manusia, dan aku melahirkan kandunganku yang penuh rahsia. Aku dudukkan diriku di tempatnya. Dudukku duduk menanti kedatangan sesuatu yang lahir dan yang batin. Dan penyelesaian segala sesuatu yang mendatangiku itu kuselesaikan dengan ilmuku yang terahsia itu. Dan kesimpulan penyelesaiannya ialah tahu mendudukkannya pula pada tempatnya. Dan adalah aku hidup sebagai seorang musafir yang sentiasa dalam pengembaraan, dalam perjalanan kerana perjalananku belum sampai di batasnya. Aku duduk tetapi berjalan. Perjalanan lahir yang bisa dilihat orang, dan perjalanan yang tidak bisa diketahui dan dilihat orang iaitu perjalanan dengan memegang rahsia yang sedikit:

Dia mengetahui yang tak diketahui orang
Pahlawanku bukan, pujanggaku pun bukan
Hanya musafir kelana
Cacat tubuh beta, letih tak berdaya
Tetapi tetap bekerja
Semoga sumbangsihku
Menambah sari ilmu
Harum taman pertiwi ibu

              Hidup ialah mempunyai alam sendiri. Dia memberi kehidupan kepada yang ada. Yang diberikannya ialah isi. Alirannya hidup, ertinya tidak mati. Kebanyakan orang tak pandai membawakan hidup kerana membawakan kehidupan sendiri tanpa ada pengertian hidup. Apa erti hidup yang sebenarnya? Dan di manakah letaknya hidup itu? Pada kesengsaraankah? Pada sukakah? Pada dukakah? Pada hartakah? Pada wang atau pada pangkatkah? Letaknya bukan pada kaya, pada miskin, pada mulia, pada sengsara, pada suka, pada duka, pada wang, pada pangkat dan lain sebagainya. Kesemuanya itu adalah akibat dari perjalanan hidup yang telah, sedang dan yang akan kita lalui. Kambing, sapi atau kerbau tidak kaya, bahkan tidak punya apa-apa, juga hidup. Anjing juga hidup. Bezanya dia binatang, kita manusia. Sebelum kita dapat mengerti apa itu hidup yang sebenarnya, hendaklah diketahui lebih dahulu bahawa hidup itu ada di diri kita, dan diri itu ada di dalam batang-tubuh kita. Dan dia mengisi kehidupan kita. Di waktu kita menjalankan kehidupan kita di luar, untuk memenuhi keperluan lahir, adakah dia kita bawa serta? Tentu orang akan mengatakan ada kerana dia telah berada bersama kita. Aku akan mengatakan tidak kerana sungguhpun ke mana saudara pergi dia ada sama saudara, tetapi untuk melancarkan usaha saudara dia tidak saudara bawa serta dengan erti yang sebenarbenarnya. Pembawaan saudara itu, walaupun dia ada tetapi tidak ikut berjasa pada usaha saudara di luar, hanya di dalam saja. Jadi adalah untuk usaha saudara di segala bidang keadaannya pasif, tidak aktif. Dan mengaktifkannya, perlu dia selain diketahui keadaannya, juga kita harus mengerti caranya dan kita usahakan supaya dia, selain mengisi kehidupan kita di dalam, juga mengisi kehidupan kita di luar. Beruntunglah orang yang dapat mengetahui, menemui dan
mengerti cara dan keadaannya: “Tiadakah mereka memikirkan apa yang di dalam dirinya sendiri?” ( Surat ar-Ruum ayat 8) Ada apa di dalam diri kita itu? Kita telah menemui diri kita, dan telah mengetahuinya pula. Dan sudahkah kita mengetahui, terdiri dari apa itu diri dan ada apa di dalamnya? Untuk ini, hendaklah kita ambil pelajaran pada kenyataannya itu diri yang telah kita temui. Semenjak kita telah menemui itu diri, bererti dia telah ada.
              
                 Keadaannya bersama kita. Kita pelajari dia untuk mengetahui dan mendapat isinya. Kita menemuinya setelah kita mendapat jejaknya, iaitu jalannya. Jalannya itu berisi kerana dia mengisi kehidupan kita di dalam jalannya. Adalah keadaannya tak ubah sebagai butir-butir darah melalui pembuluh darah. Hanya beza keadaannya berlainan – satu nyata dan yang satu lagi tidak nyata. Dan adalah yang dinamakan diri itu kumpulan dari isi-isi atau butir-butir hidup yang berasal dari hidup yang didatangkan oleh Yang Maha Esa. Dia hidup lagi menjaga. Dan adalah kandungan diri itu zat serba zat. Zat tersebut mengisi dan mengaliri jalannya kehidupan di dalam, dan seluruh alirannya menimbulkan rohani yang berupakan gambaran dari jasmani. Dapat diketahui bahawa pada kita ada dua tenaga hidup; iaitu pertama lahir, dan kedua tenaga batin atau tenaga ghaib. Tenaga lahir berasal dari tenaga hidup yang dihidupkan yang menjadi tenaga jasmani, iaitu datangnya dari zat makanan yang kita makan dan minum, umpamanya nasi, buah-buahan, daging dan sebagainya. Tenaga batin berasal dari tenaga hidup yang sebenarnya hidup, yang ada di dalam dan di luar batang tubuh kita. Keadaannya di dalam batang tubuh kita yang menjadi pokok kehidupan kita seumpama setitis air embun di daun talas atau daun keladi, hening jernih tetapi tidak lekat pada daun. Untuk kebahagiaan hidup kita, hendaklah kita hidupkan yang hidup itu, seperti kata pepatah, ‘Yang setitis digunungkan.’ Perbuatan kita menggunungkan yang setitis itu menghasilkan sekepal, dan untuk kehidupan selanjutnya, hendaklah yang sekepal itu kita lautan kerana di luar kita akan mengharungi lautan hidup. Dalam ilmu kejiwaan, perbuatan kita menggunungkan yang setitis itu bererti membesar jiwa, kerana lautan hidup yang kita tempuh atau lalui, beralun dan bergelombang, jalannya panjang dan berliku-liku, berlurah dan berbukit, berduri, dan di balik itulah yang dinamakan bahagia. Untuk itu kita harus pandai membawakan hidup, pandai membawakan diri dengan pengertian yang dalam. Kita mesti kenal betul lebih dahulu yang mana itu hidup dan yang mana itu diri. Hidup itu letaknya pada ketenangan, pada ketabahan yang keluarnya menyatakan kebesaran jiwa, bukan sombong, bukan takbur dan pula bukan angkuh. Dari itu ketahuilah diri, dan tahulah pula harga diri. Orang yang tahu harga dirinya, tak akan menjual diri


No comments:

Post a Comment